Wednesday, June 24, 2009

Jauhi daripada perbuatan yang mendatangkan bala

BAB: Akhlak
Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Sesungguhnya apabila manusia melihat manusia lain melakukan kezaliman lalu tidak melarangnya, (maka dikhuatiri Allah akan menimpakan azab-Nya secara umum tanpa ada yang terselamat sama ada yang melakukan kezaliman atau yang melihatnya tanpa mencegahnya. [Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi,]


Huraian:

SESUNGGUHNYA bala Allah S.W.T akan menimpa hamba-hambanya yang bersekongkol dalam melakukan maksiat dan kemungkaran.

Selaku umat Islam kita hendaklah sentiasa berwaspada daripada melibatkan diri dengan perbuatan-perbuatan yang salah sama ada di sisi agama mahupun undang-undang kerana semuanya ini akan memberikan imej yang tidak baik terhadap Islam di samping menunjukkan contoh yang buruk kepada yang bukan Islam.

Adalah menjadi kewajipan untuk kita menegur sebarang perkara yang buruk sebelum ianya berlarutan menjadi satu budaya dalam masyarakat seperti maksiat, penindasan dan sebagainya kerana dibimbangi jika dibiarkan suatu masa kelak bala Allah akan menimpa yang akan mengenai seluruh makhluk di sekitarnya.

Dengki

BAB: Ahlak
Hadith : RasulSabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak berkumpul di dalam hati seorang manusia antara iman dan dengki" [Riwayat Ibnu Hibban dan Al-Baihaqi]

Huraian:
1. Hasad dengki itu adalah seumpama api yang akan memakan segala kebaikan yang dilakukan oleh seseorang seperti api yang membakar kayu.
2. Adanya perasaan dengki menunjukkan iman seseorang itu belum sem- purna malah dengki merupakan sifat yang diwarisi daripada syaitan. Kerana dengkilah maka syaitan menggoda Adam a.s hingga terkeluar daripada syurga dan kerana dengki juga maka terjadinya pembunuhan di antara Qabil dan Habil.
3. Seorang pujangga Arab pernah berkata: "Orang hasad tidak akan senang hidupnya dan orang bakhil tidak akan berbudi dan tidak dapat dijadikan kawan orang yang selalu jemu dan tidak ada kemanusiaan bagi pendusta. Dan tidak dapat diterima pendapat orang yang khianat dan tiada budi bagi orang yang tidak berakhlak.
4. Dengki yang diharuskan dalam Islam hanyalah dengki yang menjadikan manusia berebut-rebut melakukan kebaikan seperti berlumba-lumba menuntut ilmu atau berlumba-lumba melakukan ibadat dan yang seumpamanya.